JANUARI 2025

Premier Hadiri Mesyuarat Delegasi Pemukiman Pemimpin Malaysia - Singapura Ke-11


PUTRAJAYA, 7 Jan: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini menghadiri Mesyuarat Pemukiman Pemimpin Malaysia – Singapura ke-11 di Kompleks Perdana Putra, di sini hari ini.

Mesyuarat berkenaan telah dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong.

Selesai menghadiri mesyuarat tersebut, Abang Johari menyaksikan sidang media bersama oleh pemimpin kerajaan itu sebelum menyaksikan pertukaran Perjanjian Bersama Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Selain itu, enam memorandum persefahaman (MoU), dan satu Surat Niat (LOI) turut dimeterai membabitkan pendidikan, wanita dan kebajikan sosial, perubahan iklim, penangkapan dan penyimpanan karbon, pembangunan bandar, serta usaha memerangi jenayah rentas sempadan.

Abang Johari kemudiannya menyertai makan tengah hari bersama delegasi Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Singapura sebelum beliau mengadakan pertemuan tertutup bersama Anwar di sebelah tengah hari.

Abang Johari yang berada di ibu negara sehingga 9 Januari 2025 turut dijadualkan akan menghadiri Forum Ekonomi Malaysia pada Khamis.

Antara yang hadir termasuklah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.